Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia

Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia

Thursday, June 3, 2010

Pemuda BN dan NGO anjur "Rally 1 Malaysia"

Pemuda BN bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan 'Rally 1Malaysia' bagi memperjelaskan dasar kerajaan dan mendapatkan maklumbalas terhadap pelaksanaan dasar daripada rakyat.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata program itu adalah sebagai terjemahan aspirasi dan sokongan Pemuda terhadap gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata program itu yang disasarkan mendapat penyertaan lebih 15,000 orang termasuk golongan belia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Jun ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

"Dalam program ini, kita akan turun ke bawah membawa mesej kerajaan serta untuk mendapatkan maklumbalas terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan apa yang akan dilaksanakan. Untuk program ini juga, kita menawarkan pengisian yang mampu menarik minat dan menzahirkan kreativiti rakyat khususnya orang muda.


"Jadi kita fikir ini adalah perkara baik yang perlu disertai oleh semua tidak kira bangsa dan agama. Ini bukan soal politik, tetapi kebangsaan. Yang penting kita nak tahu pemahaman dan harapan mereka mengenai gagasan 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Pemuda Umno di ibunegara hari ini.

Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata program itu turut diselitkan dengan program bantahan terhadap kekejaman rejim Israel yang menyerang satu daripada sembilan kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.


"Kita akan lancarkan satu program bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis menerusi SMS dan sumbangan menerusi SMS itu akan kita salurkan kepada Tabung Untuk Gaza yang dianjurkan Wisma Putra. Pada masa ini, kita masih berbincang dengan pihak telco.


"Kita harap semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa bersama-sama mendoakan keselamatan 12 rakyat Malaysia yang kini berada di Jordan serta kumpulan yang masih berada di perairan dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel itu," katanya yang menjangkakan SMS itu dapat dilancarkan Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment