Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia

Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia

Thursday, June 3, 2010

Najib diminta pertimbang Khairy dalam kabinet




Pemuda Umno Sabah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mempertimbangkan jawatan kabinet kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketuanya, Azman Ruslan berkata jika Khairy yang juga ahli parlimen Rembau tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet, kemungkinan besar ia akan mempengaruhi sokongan daripada golongan muda.

"(Ketua) Pemuda perlu diberikan pengiktirafan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, Azman kecewa kerana ketuanya ketua Pemuda bahagian Rembau, tidak dipilih menganggotai kabinet yang diketuai Najib yang juga presiden Umno.

Azman mengulas rombakan kabinet yang diumumkan Najib semalam yang menyaksikan lima orang senator dan dua anggota parlimen dilantikan sebagai timbalan menteri yang baru.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian berkata, beliau menghormati dan akur dengan keputusan Najib yang juga presiden Umno melakukan rombakan kabinetnya semalam.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan memberi kepercayaan kepada pergerakan Pemuda untuk menganggotai kabinet selepas ini.

“Pemuda Kelantan berharap pada masa akan datang, kepercayaan akan diberikan kepada Pemuda untuk berada di dalam kabinet.

“Bukan bermaksud pada masa sekarang kami tidak mendapat kepercayaan, cuma pada masa akan datang, Pemuda diberi peluang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Zahalan pula berkata "ia tidak menjadi masalah" jika Khairy tidak dapat memegang apa-apa jawatan dalam kabinet kerana perjuangan Pemuda adalah untuk parti.

Tambahnya, rombakan kabinet yang berlaku hanyalah "satu rombakan kecil" dan tidak melibatnya komponen Umno yang besar.

"Rombakan kecil itu antaranya ekoran pilihan raya yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru ini," katanya.

Rakan sejawatannya dari Kedah, Badrul Hisham Hashim turut bersependapat dengan rakan seangkatannya itu dan akur dengan keputusan Najib dalam memilih anggota kabinetnya yang baru.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai Khairy yang tidak termasuk di dalam senarai rombakan kabinet semalam.

Sebelum ini, ketua pergerakan Pemuda Umno sentiasa diberi jawatan dalam kabinet termasuk antaranya, Najib sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

No comments:

Post a Comment