KOTA BHARU-Tindakan seorang tukang urut wanita yang menyembunyikan
pelanggan lelaki di bawah selimut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,
berjaya dihidu anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu
(MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dalam
serbuan di sebuah pusat spa, di sini, petang Khamis lalu.
Dalam operasi terbabit, wanita berusia lingkungan 20-an itu pada
mulanya tidak mahu membuka pintu bilik yang menempatkan pelanggan itu
bersamanya, yang dikunci dari dalam sehingga menyebabkan pihak terbabit
terpaksa menunggu hampir 20 minit di luar pintu bilik.
Serbuan yang diketuai oleh Pegawai penguat kuasa MKPB-BRI Inspektor
Roslan Yusof, bersama 20 penguat kuasa MPKB dan JHEAIK yang dilakukan
hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Ramly Che Hussin berkata,
dalam operasi yang dilakukan itu, pihaknya turut berjaya menahan wanita
berkenaan serta lelaki itu yang sedang mendapatkan perkhidmatan
mengurut.
“Kita mengeluarkan tiga kompaun terhadap kesalahan menjalankan
operasi spa tanpa lesen, di samping kompaun kepada tukang urut wanita
yang tidak menutup aurat di bawah Undang-undang Kecil Trade Perniagaan
MPKB-BRI 1986 serta menahan pelanggan berkenaan yang diserahkan kepada
pihak jabatan agama.
“Aktiviti terbabit merupakan perlakuan yang memalukan dan menjatuhkan
moral umat Islam memandangkan wanita itu beragama Islam yang
menjalankan perkhidmatan mengurut kepada pelanggan lelaki.
“Pihak kami memandang serius aktiviti seumpama ini dan diharapkan
agar peniaga yang menjalankan perniagaan spa, tidak menjalankan aktiviti
seumpama ini. Perbuatan ini salah di sisi agama Islam memandangkan
agama Islam menyuruh umatnya menjaga batasan perlakuan dengan lelaki
bukan muhrim,” katanya.
- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment